Wednesday, 12 October 2016

Tugasan Individu i-Folio (LIM YING CHEN A156050)


Berdasarkan video-video berkaitan ilmu ketamadunan yang telah diuploadkan dalam Telegram dan Open learnig dan perjumpaan dalam dewan kuliah... Senaraikan 10 cara supaya Tamadun Malaysia akan bertahan lebih lama daripada keruntuhan akibat globalisasi dan lain-lain factor.
 
 
Cara-Cara Memastikan Tamadun Malaysia Akan Bertahan Lebih Lama

1.   Rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat harus saling menghormati dan bersikap toleransi untuk menjamin keamanan dan ketenteraman tamadun Malaysia.

 
2.   Pemimpin – pemimpin Malaysia harus berusaha menjalin hubungan yang erat dengan tamadun-tamadun lain supaya pertukaran idea, ilmu dan teknologi dapat dijalankan dengan lancar.

 
3.   Rakyat Malaysia terutamanya pemimpin-pemimipin harus sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia untuk menerima kritikan dan melakukan perubahan.


4.    Pemimpin-pemimpin harus berpandangan jauh dalam membuat rancangan dan mengatur agenda-agenda untuk menghadapi arus pembangunan yang berubah pada setiap masa.

 
5.    Pemimpin-pemimpin harus mengukuhkan pertahanan negara dengan mengutamakan bidang ketenteraan negara supaya dapat mempertahankan negara daripada serangan musuh.

 
6.    Rakyat Malaysia harus bijak memilih pemimpin negara supaya pentadbiran negara dapat berjalan dengan berkesan.

 
7.    Rakyat Malaysia harus menjaga kebersihan alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran yang akan menyebabkan bencana.

 
8.    Pemimpin-pemimpin harus menitikberatkan pendidikan generasi muda kerana mereka merupakan bakal pemimpin yang akan memikul tanggungjawab memajukan negara.

 
9.    Pemimpin-pemimpin harus mewujudkan sistem perundangan yang teratur untuk mengawal tindak-tanduk semua golongan masyarakat.

 
10.   Rakyat Malaysia harus menghayati pegangan agama masing-masing kerana kerohanian yang kukuh merupakan unsur penting dalam memelihara kegemilangan tamadun.
 
 
 
 
Di kalangan sebahagian media Barat cuba menonjolkan Islam adalah agama keganasan dan dikaitkan dengan perkataan Jihad. Berdasarkan temuduga kamu berkaitan hal ini dengan pelbagai etnik dari rakan2 kamu di UKM...Apa pandangan orang Cina di Malaysia? Apa pandangan orang Melayu di Malaysia? Apa pandangan bangsa2 lain di Malaysia?



Pandangan Orang Cina di Malaysia  

            Rakan-rakan dari kaum Cina berpendapat bahawa agama Islam bukan agama keganasan. Kaum Cina telah tinggal bersama dengan kaum Melayu dan kaum-kaum lain di Malaysia sebelum kemerdekaan Malaysia. Jika agama Islam merupakan agama berunsur ganas, rakyat Malaysia tidak akan dapat hidup dengan aman damai dan Malaysia tidak akan mencapai kemajuan dan pembangunan yang begitu membanggakan.

            Sebaliknya, mereka berpendapat bahawa agama Islam merupakan agama yang mementingkan kerohanian dan keimanan. Pendapat ini dapat dikukuhkan dengan cara hidup kaum Melayu. Saling berjabat tangan dan memberi salam merupakan amalan kaum Melayu yang sangat bersopan.

 

Pandangan Orang Melayu di Malaysia

            Rakan-rakan dari kaum Melayu tidak bersetuju dengan kritikan media Barat bahawa agama Islam merupakan agama keganasan. Hal ini adalah disebabkan kaum Melayu tidak pernah memaksa atau menyeksa kaum lain untuk menganuti agama Islam. Dengan hati yang ikhlas, kaum Melayu selalu berkongsi pengajaran-pengajaran Islam dan nilai murni yang tertera dalam agama Islam.

            Mereka beranggapan bahawa media Barat dipengaruhi oleh khabar-khabar angin yang ingin menjatuhkan imej agama Islam. Mereka percaya media Barat akan mengubah persepsi terhadap agama Islam jika mereka cuba untuk memahami agama Islam secara lebih mendalam.

 

Pandangan bangsa-bangsa lain di Malaysia

            Kaum India berpendapat bahawa agama Islam amat menitikberatkan kesusilaan dan keimanan. Unsur keganasan merupakan elemen yang bertentangan dengan agama Islam. Jika agama Islam adalah agama keganasan, agama tersebut tidak akan dapat kekal sehingga masa kini.

            Rakan-rakan yang beragama Kristian berpendapat bahawa penganut Islam amat menghormati Tuhan mereka, iaitu Allah. Kepercayaan kepada Tuhan menjadi bukti yang sahih untuk menunjukkan sikap mereka yang berimam dan bersopan.

            Bumiputera dari Sabah dan Sarawak berpendapat bahawa agama Islam mengandungi banyak hukum dan pengajaran yang melarang penganut Islam untuk melakukan perkara yang tidak bermoral. Penganut Islam selalu berpegang teguh dengan adat dan nilai-nilai kemanusiaan.
 
 
 
 
Kamu seorang sasterawan negara dan dijemput mendeklamasikan satu puisi
bertemakan isu-isu ketamadunan... samada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Tuliskan puisi tersebut hanya 10-15 baris sahaja.



Puisi

Pada zaman akan datang

Yang jauh di sebalik sempadan

 
Kelas Sejarah sebuah sekolah

Media-media elektronik yang jauh lebih canggih

Dari tablet-tablet dan komputer

 

Jelas tertera

Kegemilangan Tamadun Malaysia

 

Gambar portret pemimpin-pemimpin Malaysia

Yang menonjol dengan kewibawaan

 

Kisah-kisah tamadun Malaysia

Yang terbilang

 

Dari ekonomi, sampai teknologi, hingga pendidikan

 

Kelas Sejarah sebuah sekolah

Kelihatan generasi muda yang senyum bersinar

Dengan penuh kebanggaan
 
 
 
 
Dalam mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik
demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan bagaimanakah semua 
orang mesti bersatu semula demi masa depan tamadun? Diskus dengan rakan-rakan anda.



            Semua orang dalam satu tamadun mesti bersatu semula apabila kedamaian dan keseimbangan tamadun terganggu dan terancam. Kedamaian dan keseimbangan tamadun akan terganggu apabila terdapat kuasa-kuasa asing atau musuh yang ingin menakluki tamadun melalui kuasa, peperangan, pengaruh agama mahupun tekanan dan exploitasi ekonomi.  Keamanan tamadun juga akan tergannggu apabila berlaku penyebaran penyakit berjangkit, bencana alam dan pergaduhan dalaman.

            Apabila keadaan sebegini berlaku, semua orang dari semua lapisan masyarakat dalam sesebuah tamadun mesti bersatu dan saling bekerjasama untuk menghadapi krisis-krisis tersebut. Dengan usaha sama semua orang, kuasa-kuasa asing tidak mudah mempengaruhi atau menakluki tamadun tersebut, bak kata pepatah, “bersatu teguh, bercerai roboh”.

             Selain itu, apabila berlaku penyebaran penyakit berjangkit dan bencana alam, pengorbanan dapat dikurangkan jika semua orang dalam tamadun bersatu hati. Pihak berkenaan dapat berfokus dalam mencari cara penyelesaian untuk mengelakkan penyakit daripada berleluasa. Kerja menyelamatkan mangsa-mangsa juga dapat dipercepatkan. Pergaduhan dalaman antara orang di dalam sesebuah tamadun dapat diselesaikan dengan cepat jika semua orang sudi duduk bersama di meja bulat untuk mencapai kata sepakat. Pengorbanan juga dapat dielakkan.

No comments:

Post a Comment