Wednesday, 12 October 2016

TUGASAN INDIVIDU iFolio (Dorothy Diliana Shalilan ak Dawie)

1. Berdasarkan video-video berkaitan ilmu ketamadunan yang telah diuploadkan dalam Telegram dan Open learning dan perjumpaan dalam dewan kuliah. Senaraikan 10 cara supaya Tamadun Malaysia akan bertahan lebih lama daripada keruntuhan akibat globalisasi dan lain-lain faktor.

        Untuk memastikan Tamadun Malaysia bertahan lama daripada keruntuhan, beberapa cara boleh dijalankan. Sistem organisasi dalam pentadbiran dan politik harus diperkukuh. Pemimpin-pemimpin harus memimpin rakyat-rakyat dengan adil dalam memajukan Tamadun Malaysia. Amalan rasuah haruslah dielakkan dalam konteks ini. Sikap keprihatinan terhadap keperluan dan kebajikan rakyat haruslah disemai dalam pemimpin untuk memastikan kemakmuran dan kedamaian negara. 
        Sistem perundangan yang lebih adil dan teratur haruslah diwujudkan dan dikekalkan dalam mengekang Tamadun Malaysia daripada kejatuhan. Sistem perundangan ini harus dikuatkuasakan dengan adil untuk membantu mengawal perilaku rakyat daripada melakukan jenayah atau aktiviti yang boleh mengancam keamanan Tamadun Malaysia. Hal ini seterusnya dapat memastikan rakyat dapat hidup dengan tenang berikutan tamadun dapat dimajukan tanpa risau akan sebarang ancaman jenayah.
        Selain itu, pihak kerajaan dan pihak berkenaan haruslah berusaha memajukan sistem pendidikan negara. Hal ini demikian kerana melalui pendidikan, rakyat akan lebih berilmu dan mempunyai daya untuk memajukan negara. Ilmu yang diperoleh boleh membantu rakyat memperkembang pemikiran mereka. Negara yang maju adalah jauh daripada istilah kejatuhan.  
        Daya reka cipta juga amat penting untuk menjauhi Tamadun Malaysia daripada keruntuhan akibat globalisasi dan faktor-faktor lain. Daya reka cipta dalam penciptaan teknologi dan pembinaan amat penting untuk membangunkan tamadun. Rakyat juga dapat hidup dengan lebih selesa berikutan pelbagai reka cipta seperti LRT dan monorel yang memudahkan rakyat untuk pergi ke mana-mana sahaja dengan cepat dan pantas. Keperluan dan keselesaan rakyat dapat dipenuhi dengan penciptaan pelbagai benda dan teknologi. 
        Di samping itu, pihak kerajaan atau pentadbir boleh menjalin hubungan interaksi dengan tamadun lain. Hubungan diplomatik dengan tamadun lain adalah penting untuk mengeratkan sikap bekerjasama. Aspek bekerjasama ini boleh dijalinkan untuk mengadakan hubungan perdagangan dan pertukaran teknologi. Dengan ini, Tamadun Malaysia juga boleh mencontohi teknologi dan perkembangan tamadun lain untuk membangunkan lagi tamadun.
        Sikap perpaduan dalam kalangan rakyat juga amat penting untuk mengekalkan Tamadun Malaysia. Keadaan kacau-bilau dan huru-hara dapat dielakkan jika rakyat mempunyai sikap perpaduan. Para pemimpin juga dapat menumpukan fokus dalam pembangunan negara jika rakyat menghormati satu sama lain. Keamanan tamadun dapat dikekalkan dan kemerosotan tamadun dapat dielakkan.
        Nilai murni dan sikap moral juga harus ditanam dalam kalangan rakyat bahkan juga pemimpin. Nilai-nilai murni penting untuk mewujudkan masyarakat yang aman damai. Tanpa nilai murni, kegiatan jenayah akan berleluasa dan seterusnya menyebabkan kemerosotan tamadun. Pemimpin yang tidak bersikap moral akan mengamalkan amalan rasuah serta bersikap menindas rakyat. Hal ini dapat dielakkan dengan pengamalan nilai murni. 
        Pihak kerajaan dan pihak berkenaan juga harus berusaha dalam meningkatkan kemajuan institusi kesihatan. Pelbagai wabak penyakit harus dielakkan untuk mengatasi kejatuhan tamadun. Ciptaan pelbagai vaksin dan ubat-ubatan amat penting untuk membantu mewujudkan masyarakat yang sihat.
        Peningkatan ekonomi juga adalah antara faktor yang boleh membantu mengembangkan lagi Tamadun Malaysia. Sejarah membuktikan masyarakat yang bertamadun tinggi mengamalkan ekonomi perdagangan, pertanian dan penternakan bertaraf antara bangsa. Sebagai contoh, masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka berjaya membina satu pusat perdagangan bertaraf antara bangsa di Pelabuhan Melaka. Justeru, rakyat dan pemimpin haruslah bekerjasama dalam memajukan ekonomi negara.
        Rakyat juga perlu mengamalkan sikap taat dan cinta kepada Tamadun Malaysia. Sikap taat kepada negara akan mengelakkan rakyat menjual rahsia tamadun kepada tamadun lain yang ingin menjajah tamadun sendiri.  Sikap patriotik juga akan membawa kepada keinginan rakyat bahkan juga pemimpin untuk memajukan tamadun. Sesuatu tamadun yang maju boleh menghindari kejatuhan. 


2. Kamu seorang sasterawan negara dan dijemput mendeklamasikan satu puisi bertemakan isu-isu ketamadunan... samada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Tuliskan puisi tersebut hanya 10-15 baris sahaja.

Kedudukan penempatan yang strategik
Penempatan yang kecil akhirnya berkembang besar
Apakah nama penempatan besar tersebut?
Maka ‘Tamadun’ telah dijadikan nama

Rakyatnya berilmu tinggi lagi berbudi bahasa
Ilmu tinggi maju bangsa
Bahasa dan tulisan menjadi perantaraan bangsa
Agama menjadi petunjuk pembangunan tamadun

Pemimpin berwibawa rakyat senang
Kacau-bilau dapat dielakkan 
Reka cipta dan daya kreativiti melimpah
Kemakmuran tamadun menjadi sebutan



3. Di kalangan sebahagian media Barat cuba menonjolkan Islam adalah agama keganasan dan dikaitkan dengan perkataan Jihad. Berdasarkan temuduga kamu berkaitan hal ini dengan pelbagai etnik dari rakan2 kamu di UKM...Apa pandangan orang Cina di Malaysia? Apa pandangan orang Melayu di Malaysia? Apa pandangan bangsa2 lain di Malaysia?

Pandangan orang Cina:
Pada pandangan orang Cina, mereka tidak mengetahui dengan mendalam mengenai agama Islam. Jadi mereka mudah tertipu dengan liputan daripada media Barat. Liputan daripada media massa Barat sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran mereka tentang agama Islam. Sesetengah umat Islam bersifat radikal dan menakutkan penduduk. Mungkin ini adalah kerana sesetengah  umat Islam tidak memahami dengan betul tentang konteks agama Islam. Sesetengah umat Islam di negara-negara Timur bersifat jihad dan membunuh penduduk yang tidak berminat menganut agama Islam. Tetapi, sebenarnya terdapat umat Islam bersifat baik. Rakan yang rapat dengan mereka selalu mengamalkan cara hidup yang baik dan bersikap mulia. Jadi, media Barat dan media massa tidak seharusnya dipercayai sepenuhnya.

Pandangan orang Melayu: 
Sesetengah umat Islam tidak memahami erti sebenar jihad. Sebenarnya, umat Islam sendiri salah mentafsirkan perjuangan sebenar jihad yang menjadikan agama Islam dilihat sebagai agama yang memperjuangkan keganasan. Padahal dalam ajaran Islam, keganasan dan peperangan adalah sangat dibencikan. Kesalahfahaman jihad oleh sesetengah golongan yang ekstrem perlu diperbetulkan agar sejajar dengan asas kefahaman dan keyakinan jihad yang disyariatkan. Sebaliknya, agama Islam adalah agama yang sejahtera yang perlu dihayati oleh semua umat Islam. 

Pandangan bangsa-bangsa lain:
Kadang kala, media sentiasa membuat liputan yang hangat hanya untuk mendapatkan perhatian orang ramai. Hal ini menyebabkan orang awam sukar untuk membezakan antara liputan yang sahih faktanya atau sekadar palsu belaka. Orang awam juga tidak tahu akan kebenaran sama ada agama Islam adalah agama keganasan. Perkataan jihad pula menyebabkan orang awam takut apabila diungkitkan. Hal ini menyebabkan ramai yang mempunyai perasaan prasangka terhadap orang Islam. Hubungan yang rapat dan harmoni sukar diamalkan antara sesetengah orang Islam dengan orang yang berlainan agama. 



4. Dalam mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan bagaimanakah semua orang mesti bersatu semula demi masa depan tamadun? Diskus dengan rakan-rakan anda.

        Semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat dan juga pemimpin amat penting demi masa depan tamadun. Semangat bersatu padu haruslah ditanam tanpa mengira dalam keadaan senang atau susah. Lebih-lebih lagi, apabila negara menghadapi krisis, seperti krisis ekonomi, dalam kalangan pemimpin, mungkin terdapat perbezaan pendapat dalam jalan penyelesaian krisis yang dihadapi. Tetapi, para pemimpin haruslah berbincang sesama mereka dan bersama-sama memikirkan serta melaksanakan jalan penyelesaian yang terbaik. Rakyat juga harus bersikap bersatu padu antara satu sama lain dan berganding bahu dengan pemimpin untuk membantu menyelesaikan krisis negara. Sikap perpaduan amatlah penting dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Walaupun berada dalam situasi yang berbeza agama dan budaya, kadang-kadang pencanggahan budaya akan berlaku dalam kalangan masyarakat. Jadi sifat saling menghormati haruslah disemai dalam kalangan masyarakat. Isu sensitif tetang perkauman dan keagamaan tidak harus dibangkitkan. Perpaduan dalam kalangan rakyat boleh membantu menjamin kedamaian dan keamanan agar para pemimpin dapat menumpukan perhatian dalam pembangunan negara. Agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati kita dapat membina sebuah negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan dan negara aman, politiknya tidak huru-hara, serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur 

No comments:

Post a Comment